60,000 tiket habis dijual Harimau Malaya vs Singapore esok


SEJUMLAH 60,000 tiket untuk menyaksikan perlawanan kedua pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 di antara Malaysia dan Singapura, sudah dijual.
Kesemua 60,000 tiket itu dibeli pada hari pertama tiket perlawanan mula dijual di tiga stadium yang dipilih. “Kita (FAM) memang menjangkakan sambutan begitu menggalakkan khususnya di kalangan peminat tempatan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk S Sivasundaram kepada Bernama, semalam.

Menurut beliau 25,000 tiket diagih-agihkan untuk jualan di Stadium Nasional Bukit Jalil dan masing-masing 12,500 tiket lagi untuk dijual di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Stadium Shah Alam.
Katanya, kesemua tiket yang diperuntukkan untuk jualan di Stadium Nasional habis dijual setakat jam 3.30 petang manakala di dua lagi stadium pada jam 5 petang.

Mengikut jadual asal, kaunter tiket di ketiga-tiga stadium beroperasi dari jam 9 pagi hingga 7 malam dan akibat sambutan di luar jangkaan, kaunter ditutup lebih awal.

Selain jualan terus tiket di kaunter tiket, Sivasundaram berkata sebanyak 10,000 tiket ditempah dan dibeli secara on-line iaitu di laman web www.tickethotline.com.my. Daripada jumlah 60,000 tiket itu, 2,000 adalah daripada penyokong Singapura.

“Baki 25,000 tiket yang ada akan dijual esok di ketiga-tiga stadium bermula jam 9 pagi,” katanya.

Mengenai rungutan sesetengah penyokong yang tidak dapat membeli tiket hari ini, Sivasundaram berkata: “Sebelum ini kita sudah umumkan yang kami akan menjual tiket berkenaan selama tiga hari bermula hari ini.

 “Kalau kita jual habis semua tiket hari ini, macam mana pula bagi pembeli yang merancang untuk membelinya esok atau lusa. Kita tidak boleh puaskan hati semua pihak.”

sumber : myMetro

0 comments:


 

Copyright © 2013 am suda All Rights Reserved